31 May 2010

Sebelum dan selepas di Batu Bersurat


KUALA TERENGGANU - Bagi menghargai jasa guru-guru di Terengganu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai sagu hati kepada lebih 22,000 warga pendidik di negeri ini. Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada golongan guru yang komited mengharumkan nama Terengganu dalam bidang pendidikan tanah air.

Menurut beliau, hasil kegigihan para guru, Terengganu kini menduduki tangga teratas dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pencapaian itu termasuk kejayaan dinobatkan negeri terbaik selama sembilan tahun berturut-turut bagi UPSR, selain mengungguli peperiksaan SPM selama tiga tahun berturut-turut.

Tanpa mendedahkan bentuk sebenar 'hadiah' tersebut, Ahmad berkata, dia sendiri akan turun ke setiap daerah untuk menyerahkan penghargaan tersebut kepada setiap guru di negeri ini. "Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan 'hadiah' itu dan barangan tersebut sudah pun ditempah," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Darul Iman Malaysia dekat sini semalam. Pada majlis itu, pesara guru Ahmad Mahmood, 67, dipilih sebagai Tokoh Guru 2010. Beliau menerima wang tunai RM10,000, sepersalinan pakaian, pingat serta sijil penghargaan.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH DAN HADIAH SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2010

Tokoh Guru 2010
Haji Ahmad bin Mahmood
80-7,KM.8.Binjai,
Jalan Air Puteh,
24000 Kemaman,Terengganu

Augerah Guru Inovatif Sekolah Menengah
Majidah bt Muhamad
SMK Menerong,Ajil,Hulu Terengganu

Anugerah Guru Inovatif Sekolah Rendah
Norma bt Mohamad
SK Tok Jembal,Kuala Terengganu

Anugerah Guru Inovatif Prasekolah
Anis Salwani bt Mahmood
SK Tengku Mahmud 11,Besut,Terengganu

Anugerah Guru Pendidikan Khas Cemerlang 2010
Sa’yah binti Abu Bakar
SMK Bukit Besar,Kuala Terengganu

Anugerah Guru Kurang Upaya Cemerlang 2010
Mohd Khairuddin bin Abdul Wahab
SMK Bukit Besar,Kuala Terengganu

Anugerah Guru Cemerlang Sekolah Rendah
Rusmadi bin Abdullah
SK Sura ,Dungun,Terengganu

Anugerah Guru Cemerlang Sekolah Menengah
Fariza Nurbaya bt Mohamad
SMK Putra,Besut,Terengganu

Anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang (Sekolah Rendah)
SK Batu 7,Dungun,Terengganu

Anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang (Sekolah Menengah)
SMK Lembah Bidong,Setiu,Terengganu

Anugerah Asrama Cemerlang
SK Pasir Raja,Dungun,Terengganu

Anugerah Pengurusan Disiplin Cemerlang
SMK Belara,Kuala Terengganu

Anugerah Penerbitan Dan Majalah Terbaik
SMK Chukai,Kemaman,Terengganu

Anugerah Pengurusan Pejabat Pelajaran Daerah Cemerlang
Pejabat Pelajaran Daerah Marang,Marang,Terengganu

Anugerah Tokoh NILAM Guru
Encik Alias bin Ismail
SMK Kuala Jenderis,Hulu Terengganu


Peraduan Menulis Artikel Pendidikan Kategori Guru:

Tempat Pertama
Pn. Hjh. Zainun bt. Mohd
SMK Tengku Lela Segara,Marang Terengganu

Tempat Kedua
Tn. Hj. Mat Husin bin Hj. Ghani
SMK Saujana,Setiu,Terengganu.

Tempat Ketiga
Pn. Nozna bt. Awang
SMK Pengkalan Berangan,Marang,Terengganu


Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak Kategori Guru:

Tempat Pertama
Pn. Siti Hawa bt. Ibrahim
SMK Padang Midin,Kuala Terengganu

Tempat Kedua
Tn.Hj.Kadir bin Othman
SMK Seri Serating,Marang,Terengganu

Tempat Ketiga
En. Nazri bin Hussein
SK. Bukit Kuang,Kemaman,Terengganu

27 May 2010

Semalam di Pulau Kapas (Siri 2)

22 May 2010

Team SMK Belara di Cabaran Bolasepak MAXIS

Tahniah kepada pasukan SMK Belara kerana berjaya menyempurnakan cabaran Kejohanan Piala Maxis sempena Kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 dengan keputusan berjaya ke separuh akhir....(terlepas peluang satu langkah ke Grand Final di Kuantan). Apa pun semangat 'Belara Boleh' terus tersemat dalam diri warga SMK Belara keseluruhannya.



19 May 2010

Satu Gambar Seribu Tafsiran

Salam buat semua blogger ...agak lame aku tak guna program kat internet yang berkaitan dengan grafik. Terima kasih rakan blogger 'Ahmad Awang' atas perkongsian ilmu saudara...

Foto di atas dijana di alamat... http://www.photofunia.com/

09 May 2010

Surat Pergerakan Gaji Tahun 2010

Surat Pergerakan Gaji Tahun 2010 Bagi PPP Cuti Belajar

Dimaklumkan bahawa Bahagian Tajaan pendidikan dalam proses mengeluarkan Surat Pergerakan Gaji Tahun 2009 Bagi PPP Cuti Belajar. Proses ini dijangka mengambil masa dua (2) bulan iaitu dari April 2010 hingga 30 Jun 2010. Sehubungan itu, tuan/puan diminta menyemak penerimaan surat pergerakan gaji tersebut pada majikan lama sebelum Cuti Belajar. Sekiranya tuan/puan masih belum menerima surat pergerakan gaji pada Julai 2010, tuan/puan adalah diminta untuk menghubungi Bahagian Tajaan Pendidikan di talian 03-8884 7133 / 7126 atau emel :

bt.ld@moe.gov.my


05 May 2010

Dedikasi Untuk Semua GuruKu - 'Guru Oh Guru'



Dialah pemberi paling setia
setiap akar ilmu miliknya
pelita dan lampu segala
untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
alur kesetiaan mengalirkan nasihat
pemimpin yang ditauliahkan segala umat
seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
jika hari ini seorang raja menaiki takhta
jika hari ini seorang presiden sebuah negara
jika hari ini seorang ulama yang mulia
jika hari ini seorang peguam menang bicara
jika hari ini seorang penulis terkemuka
jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
di sebuah sekolah mewah di ibu kota
di bangunan tua sekolah di Hulu Terengganu
dia adalah guru mewakili seribu buku;
semakin terpencil duduknya di ceruk desa
semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
budi yang diapungkan di dulang ilmu
panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
menjadikan kenangan ke akhir hayat.


NUKILAN: SN DATO USMAN AWANG (1979)

03 May 2010

Kesatuan Guru Mohon Ditimbang 11 Insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini. Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran. Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini. Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.


''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF). ''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Mei 2010

02 May 2010

Semalam di Pulau Kapas


Pulau Kapas terletak di daerah Marang Kuala Terengganu...premis ini semua orang Terengganu tahu...apatah lagi Pulau Kapas merupakan salah satu destinasi yang menarik untuk dikunjungi. Pada cuti Hari Buruh lepas, aku berkesempatan menjejak kaki ke pulau ini...Bercerita tentang pengalaman ke 'Pulau' khususnya pulau pelancongan teringat pengalaman pertama aku berkunjung ke Pulau Tioman...di mana sepanjang perjalanan aku dapat lihat ikan-ikan yang seolah-olah mengiringi sepanjang perjalanan bot pada waktu itu.. Pulau Langkawi, Pulau Redang telah aku kunjungi dan selepas ini aku teringin jejakan kaki ke Pulau Perhentian!!

Sedikit info tentang Pulau Kapas... Pulau Kapas tidak asing lagi kepada penduduk Daerah Marang. Suatu ketika dahulu pulau ini hanya menjadi tempat persinggahan nelayan atau tempat berlindung daripada dipukul ribut. Hari ini Pulau Kapas seakan ‘dara pingitan’ yang sentiasa menjadi perhatian ramai pelancung dari luar dan dalam negeri. Mengambil masa cuma 15 minit menaiki bot dari Jeti Marang, pengunjung akan menikmati panaroma pulau yang mengasyikkan. Air yang jernih, pantai yang bersih, ombak beralun perlahan, kehidupan karang yang tidak terusik, flora dan fauna yang masih belum diteroka sepenuhnya meletakkan Pulau Kapas sebagai destinasi pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi oleh seisi keluarga.

Mereka yang berkunjung bukan sahaja boleh mandi-manda dengan tenang tetapi juga turut berpeluang untuk menikmati aktiviti berkayak, aktiviti 'snorkling' bagi menyaksikan keindahan karang dan ikan pelbagai warna, ataupun aktiviti scuba diving. Bagi mereka yang mencari ketenangan dan kedamaian, pulau ini menawarkan penginapan di chalet pada harga yang berpatutan. Bagi yang memilih untuk berkhemah, tempat perkhemahan juga disediakan tanpa bayaran yang mahal. Malah perkhidmatan feri ulang alik yang disediakan turut membolehkan pengunjung yang datang bersantai untuk menghirup udara segar dan menikmati panorama yang menarik boleh kembali ke tanah besar pada hari yang sama. Itulah kelebihan Pulau Kapas, yang tiada pada pulau-pulau lain di Terengganu.