12 September 2009

Ketuhar Elektrik dan Kuih Tart Nenas





Masuk hari nie dah 22 Ramadan 1430 H...dan dikesempatan ini aku posting gajet yang berkait dengan urusan dapur...ketuhar elektrik jenama Europa. Tukang buat kuih, anak sulung dan ibunya... resepi tart nenas ialah:

Bahan-Bahan:
250gm Butter SCS

2 sudu besar susu pekat manis F&N
1 sudu besar minyak sapi ghee
sedikit garam halus
2 biji kuning telur
1 biji putih telur
sedikit vanillin
500gm tepung gandum (atau kurangkan sedikit untuk kelembutan)
sedikit baking powder
4 biji nenas muda
2 ½ senduk gula pasir
sedikit vanilla
sejuring limau nipis
daun pandan

Cara penyediaan:
Pukul bersama butter, susu, minyak sapi, garam hingga sebati. Masukan telur dan vanillin pukul lagi akhir sekali masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder. Gaul hingga sebati dan lembut.

Jem Nenas:
Parut nenas dan jangan dibuang airnya. Masak bersama daun pandan hingga kering sambil dikacau supaya tidak hangus. Setelah kering masukan gula, vanilla dan limau nipis. Kacau tanpa henti hingga likat.

"Selamat mencuba resepi ini..."

09 September 2009

Majlis Berbuka Puasa

Alhamdulillah, petang tadi...aku hadir ke majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Pendidikan Jasmani IPGM KDRI. Majlis bertempat di gimnasium dan dimulakan dengan bacaan tahlil sementara menunggu waktu berbuka. Turut hadir ke majlis tersebut tuan pengarah, untuk bersama-sama dengan semua pensyarah PJ, pelajar KPLI, PISMP dan KSPK PJ '09. Syukran! kepada pihak penganjur...



Aku dan Gimnastik

Walaupun menjalani ibadah puasa...namun aktiviti yang melibatkan amali dan praktikal tetap berjalan seperti biasa...gimnastik, hoki, bola tampar dan olahraga.



19 August 2009

Ahlan Ya Ramadan

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya
(jika masih ada)
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

Oleh itu, saya terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja mahupun yang di sengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah.

"SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA DAN
SELAMAT BERRAMADAN"





Skim Pencen

1. GANJARAN PERKHIDMATAN
7.5% X Jumlah Bulan Perkhidmatan X Gaji Akhir

2. PENCEN BULANAN
1/600 X Jumlah Bulan Perkhidmatan X Gaji Akhir
(Tertakluk kepada pencen maksimum setengah daripada gaji akhir)

3. Faedah perubatan untuk suami/isteri, anak kurang upaya, anak bawah 18 tahun atau masih dalam institusi pendidikan dan ibubapa.
* Ibubapa hanya semasa pegawai dalam perkhidmatan.

4. Pencen Terbitan untuk balu/duda/anak.


Terima Kasih


Salam, blog 'DSPM' ini telah mencapai klik ke angka 5665 pada jam 7.40 pagi , pada 19 Ogos 2009....TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN TETAMU SEMUA.



16 August 2009

Shortcut Key

Di bawah ini adalah antara 'shortcut key' yang boleh membantu mempercepatkan kerja dalam urusan pengkomputeran.


CTRL + E : Mengalihkan teks ke posisi tengah
CTRL + R : Mengalihkan teks ke posisi kanan
CTRL + O : Membuka sesuatu fail
CTRL + P : Print
CTRL + A : Memilih semua (text, fail, dll)
CTRL + S : Simpan (save)
CTRL + F : Melakukan carian
CTRL + G : Pergi ke muka surat seterusnya
CTRL + H : Melakukan tindanan terhadap text
CTRL + K : Meletakkan hyperlink
CTRL + Z : Kembali ke keadaan sebelum
CTRL + X : Kerat (cut) sesuatu (text, gambar, fail dll)
CTRL + C : Membuat salinan (copy)
CTRL + V : Tampal (paste)
CTRL + B : Bold perkataan
CTRL + N : Memulakan muka baru





13 August 2009

Teks Ucapan dan Panduan Penulisan Teks Ucapan

Pendahuluan

Dalam sesuatu acara atau majlis pasti kita biasa mendengar ucapan daripada tuan rumah dan ucapan tamu kehormat selain ucapan pengacara majlis. Pernahkah anda terfikir bahawa suatu hari nanti anda yang perlu menyampaikan ucapan atau anda ditugaskan untuk menulis teks ucapan untuk ketua anda atau tamu kehormat dalam majlis yang dianjur oleh organisasi tempat anda bertugas? Apakah yang perlu anda lakukan pada ketika itu? Adakah anda akan mencuba memberikan pelbagai alasan untuk menolak? Kemungkinan kali pertama, kedua atau ketiga anda berjaya melepaskan diri, tetapi kali yang seterusnya, anda mungkin akan perlu melakukannya juga. Oleh itu, apa kata jika anda bersedia dari sekarang menyiapkan diri anda untuk menulis teks ucapan yang berkesan untuk diri anda sendiri atau untuk ketua anda.

Lazimnya, terdapat banyak jenis ucapan; ada ucapan tahniah, ucapan penghargaan, ucapan politik, ucapan perpisahan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buku ini hanya berfokus kepada teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian dan teks ucapan perpisahan.

Jenis-jenis teks ucapan

Telah dinyatakan tadi bahawa buku ini hanya berfokus kepada tiga jenis teks ucapan.

Yang berikut merupakan ciri-ciri teks ucapan tersebut.

Teks ucapan alu-aluan ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tuan rumah dalam sesuatu majlis. Teks ucapan ini selalunya ditulis dengan ringkas tetapi ada juga yang panjang bergantung pada kehendak pihak penganjur majlis. Teks ucapan ini mengandungi ucapan alu-aluan selamat datang dan ucapan terima kasih kepada tamu kehormat dan para jemputan.

Selain itu, dalam teks ucapan alu-aluan juga akan disampaikan harapan pihak penganjur, objektif majlis dan penghargaan kepada orang yang membantu melaksanakan majlis. Kadangkala dalam teks ucapan alu-aluan juga turut dimasukkan laporan kejayaan sesuatu organisasi atau institusi.

Teks ucapan perasmian ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tamu kehormat bagi sesuatu majlis. Teks ucapan perasmian selalunya lebih panjang daripada teks ucapan alu-aluan.

Teks ucapan perasmian mengandungi ucapan terima kasih kepada tuan rumah yang mengundang, maklumat yang berkaitan dengan majlis, perkembangan institusi yang mengundang dan harapan tetamu.

Teks ucapan perpisahan merupakan teks ucapan yang disampaikan dalam majlis perpisahan. Teks ucapan perpisahan terbahagi kepada teks ucapan pihak yang menganjurkan majlis dan teks ucapan yang dibalas oleh orang yang diraikan.

Teks ucapan perpisahan yang disampaikan oleh pihak penganjur selalunya mengandungi ucapan terima kasih dan puji-pujian atas jasa yang disumbangkan oleh orang yang diraikan. Selain itu, terdapat juga harapan penganjur kepada orang yang diraikan.

Teks ucapan balas yang disampaikan oleh orang yang diraikan pula mengandungi ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan puji-pujian terhadap rakan setugas dan kaki-tangan bawahan.

Selain itu, dalam teks ini juga lazimnya dimasukkan permohonan maaf dan menyatakan detik-detik indah atau manis ketika berkhidmat serta pelawaan kepada semua rakan dan kakitangan untuk berkunjung ke rumah.

Isi kandungan buku sepintas lalu


Buku ini ditulis untuk memberi anda sedikit panduan tentang cara menulis teks ucapan dan contoh teks ucapan. Terdapat lima bab dalam buku ini, iaitu:

Bab 1 – Penulis teks ucapan
Bab 2 – Panduan asas penulisan
Bab 3 – Senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan
Bab 4 – Pincang bahasa, pincanglah teks ucapan
Bab 5 – Koleksi contoh teks ucapan

Bab 1 memperkenalkan penulis teks ucapan dan kriteria yang ada pada penulis teks ucapan.

Dalam Bab 2, diberikan panduan asas penulisan teks ucapan termasuk cara menyediakan teks ucapan dan isi kandungan teks ucapan. Dalam bahagian ini juga diterangkan serba ringkas tentang format penulisan teks ucapan secara umum.

Dalam Bab 3, diberikan senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan. Bahagian ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu:
1. Senarai panggilan hormat tamu kehormat
2. Senarai panggilan hormat audiens
3. Pantang larang dalam teks ucapan

Bab 4 pula menyentuh tentang kesalahan bahasa yang perlu dielakkan dalam teks ucapan agar teks yang disediakan tidak pincang. Kesalahan bahasa yang disentuh melibatkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan semasa bercakap dan menulis.

Akhir sekali, dalam Bab 5, dimuatkan 16 contoh teks ucapan yang berfokus kepada teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian pelbagai majlis dan teks ucapan perpisahan untuk bacaan dan rujukan anda. Hal ini bertujuan untuk membantu anda menyediakan dan menulis teks ucapan dengan baik dan berkesan.

Di samping itu, cadangan majlis lain yang bersesuaian dengan setiap contoh teks ucapan turut diberikan.

Petikan dari Bab 2: Panduan Asas Penulisan

Kita sering terpegun dan tertawan apabila mendengar ucapan daripada tetamu atau tokoh-tokoh tertentu. Tahukah kita bahawa ada antara teks yang kita dengar dalam majlis-majlis tertentu bukan ditulis sendiri oleh penyampai ucapan tetapi ditulis oleh orang lain? Soalnya, siapakah yang menulis teks ucapan tersebut?

Anda telah pun mengenali penulis teks ucapan. Kini, tiba masa untuk anda mengetahui cara penulisan teks ucapan.

Teks ucapan yang menarik dan berkesan bukan sesuatu yang mudah untuk dihasilkan tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika setiap daripada kita mengetahui cara menghasilkan dan menulis teks ucapan yang menarik dan berkesan. Sebenarnya, tidak banyak daripada kita mengetahui cara menghasilkan teks ucapan yang baik dan berkesan. Oleh itu, marilah kita mempelajari cara penulisan teks ucapan yang betul dan mudah.

Prapersediaan dalam menyediakan teks ucapan

Sebagai penulis teks ucapan, anda harus mengetahui beberapa perkara sebelum menyediakan teks ucapan. Perkara yang perlu anda ketahui ialah:

i. Untuk siapakah teks ucapan itu disediakan?

Sebagai penulis teks ucapan, anda perlu mengetahui orang yang akan membaca teks tersebut. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis mesti selari dengan jawatan, perawakan dan latar belakang pendidikan orang tersebut.

ii. Siapakah audiens yang mendengar ucapan tersebut?

Penulis teks ucapan perlu mengetahui audiens yang mendengar ucapan tersebut sebelum mula menulis teks ucapan tertentu. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis perlu juga sesuai dengan tahap pengetahuan audiens. Jika teks yang ditulis untuk disampaikan kepada audiens yang dalam golongan pelajar sekolah menengah, maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan tahap pemikiran pelajar sekolah menengah. Dengan kata lain, penulis teks ucapan mestilah memastikan bahawa teks yang ditulis sesuai dengan tahap pemikiran audiens yang akan mendengar ucapan tersebut.

iii. Siapakah tetamu yang akan hadir?

Tetamu yang akan hadir juga perlu diambil tahu oleh penulis teks ucapan. Oleh itu, penulis teks ucapan perlu mendapatkan nama tetamu dengan tepat berserta jawatan dan kedudukan tetamu mengikut peringkat yang ditetap-kan oleh pihak penganjur. Dengan mengetahui tetamu yang akan hadir, penulis teks ucapan dapat menyusun bahagian kata alu-aluan tersebut mengikut protokol dan hal ini dapat memastikan tiada pihak yang berkecil hati kerana nama mereka tidak disebut atau tersalah panggilan hormatnya.

iv. Apakah tujuan majlis tersebut?

Tujuan majlis juga perlu diketahui oleh penulis teks ucapan. Tujuan majlis penting dalam penulisan teks ucapan. Teks ucapan alu-aluan terutamanya perlu menyentuh tujuan majlis tersebut diadakan. Jadi, jika penulis teks ucapan tidak mengetahui tujuan majlis diadakan, maka longgarlah isi teks ucapan yang ditulis.

v. Berapa lamakah ucapan tersebut perlu berlangsung?

Setiap teks ucapan yang ditulis bergantung pada masa yang diperuntukkan oleh penganjur. Teks ucapan yang baik ialah teks ucapan yang dapat mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Jadi, penulis teks ucapan perlu mengetahui masa yang ditetapkan oleh penganjur bagi setiap teks ucapan yang diperlukan. Sebagai contohnya, jika masa yang diperuntukkan selama lima minit untuk tamu kehormat menyampaikan ucapan, maka teks yang ditulis hendaklah dalam lingkungan 10 muka surat bersaiz setengah A4 yang ditaip dengan tulisan bersaiz 16 dengan langkauan dua baris.

vi. Apakah bahan atau maklumat yang perlu dicari?

Bahan atau maklumat yang perlu dicari bergantung pada majlis. Jika majlis yang akan dilangsungkan berkaitan dengan sambutan kemerdekaan, maka bahan atau maklumat yang perlu dicari mestilah berkaitan dengan kemerdekaan atau semangat patriotisme.

Maklumat lanjut berkenaan buku Koleksi Contoh Teks Ucapan Berserta Panduan Asas Penulisan Teks Ucapan ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my

12 August 2009

Mendidik Anak Bermula Pada Peringkat Awal

CENDEKIAWAN pendidik Islam di Mesir, Dr Abdullah Nasih Ulwan mengatakan bahawa kecemerlangan anak adalah satu natijah daripada amalan dan pengalaman yang mereka lalui.

Perkara itu akan tersemat dalam jiwa serta hati sanubari anak sejak kecil, terutama pada peringkat awal iaitu di bawah enam tahun.

Begitu besar kesan tarbiah atau pendidikan anak sejak kecil. Ia antara faktor penentu kejayaan anak pada masa depan.‘Izzah iaitu yakin kendiri (self-esteem) adalah rasa hormat diri, yakin dan percaya bahawa diri dihargai. Ia adalah asas penting untuk membina sahsiah anak sejak kecil.

Kajian mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah ‘izzah akan lebih mudah terbabit dengan salah laku, gejala sosial dan penagihan dadah. Ibu bapa, pengasuh dan guru, mesti peka terhadap perkara itu dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah anak.

Berikut adalah 10 tips penting yang perlu disemai dalam diri anak untuk mencapai tujuan itu.
Melahirkan hubungan kasih sayang, rapat dan berasa selamat sejak bayi dilahirkan.


Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya kanak-kanak berasa diketepikan dan tidak diterima, ia sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka. Kita harus berlaku adil kepada anak. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri anak-anak. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” (Hadis riwayat Muslim).

Fahami dunia dan emosi anak dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengenakan butang baju mungkin masalah besar kepada anak berumur tiga tahun. Apabila memberikan perhatian dan menggalakkan mereka menyelesaikan masalah, anak akan berasa lebih yakin diri.

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan anak. Kita hendaklah membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, anak akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

Tetapkan peraturan dan terangkan sebab peraturan itu diberikan kepadanya. Kanak-kanak belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, terutama pada kanak-kanak yang masih kecil. Mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

Galakkan anak membuat pilihan sendiri. Elakkan memaksa anak menerima saja keputusan yang dibuat. Bagi kanak-kanak kecil, berikan dua atau tiga pilihan untuk memudahkan mereka memilih. Ia seperti memilih untuk memakai baju hijau atau biru dan makan nasi atau mi.

Membina pengalaman baru dalam diri anak. Beri sokongan kepada mereka apabila mengambil risiko positif seperti belajar menunggang basikal. Kegiatan ini walaupun berisiko, namun jika anak tidak mencuba, kejayaan tidak akan dicipta dalam diri mereka. Ibu bapa dan guru perlu mencari keseimbangan antara melindungi anak dan membiarkan anak memperoleh kemahiran baru dalam hidup mereka. Kita mesti bersabar daripada terlalu membantu anak. Biarkan mereka mencuba sendiri dan belajar daripada kesilapan.

Tidak semua kesilapan akan membunuh keyakinan diri, sebaliknya memupuk sifat lebih berhati-hati. Anak yang tergelincir di tempat licin mungkin akan lebih berhati-hati apabila berjalan. Kadang-kadang mereka sememangnya perlu belajar daripada kesilapan.Mereka mungkin berkeras untuk melakukan sesuatu yang tidak sesuai seperti memakai baju tangan panjang pada cuaca panas. Biarkan mereka melakukan kesilapan. Bawa baju yang lain untuk ditukar apabila mereka merungut kepanasan. Kita tidak perlu memarahi lagi kerana sebenarnya mereka telah menyedari kesilapan dan akibat daripada kedegilan mereka.

Meminta maaf sekiranya ibu bapa melakukan kesilapan. Anak akan belajar bahawa melakukan kesalahan secara tidak sengaja adalah tidak mengapa. Apa yang perlu dilakukan adalah meminta maaf dan belajar daripada kesalahan yang dilakukan.

Berilah pujian dan kata-kata galakan positif apabila anak berusaha melakukan sesuatu. Perkara itu perlu dilakukan selalu dan segera untuk memberikan kesan. Contohnya, beri pujian pada anak yang mencuba untuk menyuap makanan sendiri walaupun tumpah dan comot. Dengan cara ini mereka akan lebih bersemangat dan tekun mencuba melakukan atau mempelajari sesuatu.Berbeza pula dengan memberi ganjaran apabila anak melakukan yang terbaik. Hal ini akan memberi tekanan kepada mereka untuk melakukan hanya yang terbaik.Elakkan juga daripada hanya menegur anak apabila melakukan kesilapan. Perkara ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Menggalakkan anak melakukan kerja dan kreatif mengikut kemampuan mereka. Dalam hal ini kita terlebih dulu mesti sentiasa melakukan sendiri kerja di depan anak. Contohnya, jika anak menyepahkan mainannya, kita harus memimpin tangan anak, melutut pada lantai melakukan permainan menyimpan mainan sambil berkata “sekarang masanya untuk menyimpan mainan kamu.”Galakkan anak berkreatif secara bebas.

Jangan mengongkong anak dengan satu cara melakukan sesuatu. Contohnya, meminta anak melukis rumah mengikut bentuk yang biasa kita lukis. Semua kegiatan seni dan estetika baik untuk meningkatkan keyakinan mereka. Hargai hasil kerja anak dengan mempamer atau merakam aksi mereka.

Menggunakan disiplin secara positif. Kanak-kanak akan berasa lebih selamat dan yakin sekiranya kehidupan seharian mereka berdisiplin. Masa untuk kegiatan harian mestilah tetap dan tidak selalu diubah. Contohnya, masa makan dan belajar. Anak akan rasa lebih yakin, berdisiplin dan terdidik. Islam juga mendidik untuk mempunyai disiplin diri tinggi seperti solat dan puasa.Mengasuh dan mendidik anak adalah amanah Allah yang memerlukan komitmen tinggi dan berpanjangan. Apapun ia sememangnya sesuatu yang menyeronokkan sekiranya kita mempunyai ilmu untuk melakukannya.

Perkongsian pengalaman dan ilmu keibubapaan sangat praktikal dan berharga. Ia mestilah sentiasa dipupuk dalam masyarakat supaya kita dapat membina anak yang lebih bersedia untuk menjadi khalifah Allah di bumi ini.

10 August 2009

Sumbangan Baktiku...

Salam…masuk hari ni…10 Ogos ’09 bermakna tinggal 3 hari lagi untuk aku menyumbang bakti kepada warga SK Durian Burong KT sebagai guru Pendidikan Jasmani (KSPK PJ ’09). Sepanjang, aku berada di sini, banyak kenangan yang boleh aku kongsi dengan warga pendidik tanahair…berkaitan dengan kerjaya sebagai pendidik. Beberapa sekolah telah aku lewati sepanjang meniti hari-hari sebagai pendidik bermula dengan sekolah…

1. SK Iban Union, Balingian Sibu, Sarawak
(Praktikum Pertama:MPSB)
, Tahun 1995
2. SK Sungai Manong, Niah Sarawak
(Praktikum Kedua:MPSB)
, Tahun 1996
3. SK LKTP Chini Timur 01, Pekan Pahang
(Penempatan Pertama)
, Tahun 1997
4. SMK Seri Pekan
(perpindah…kerana sekolah ini baru dibuka….)
, Tahun 1998
5. SMK Sulaiman, Bentong Pahang
(Praktikum PKPG:UPSI)
, Tahun 2005
6. SMK Bukit Besar
(Penempatan semasa), Mei 2005 dan…

7. SK Durian Burong
(Praktikum KSPK PJ), 05 Julai 2009…hingga 13 Ogos 2009


SAYONARA…



04 August 2009

Ciri Keselamatan


Salam, hari ini aku posting satu ciri keselamatan yang terdapat pada kad pengenalan aku...cuba lihat sebelah kiri gambar tertera perkataan 'SALINAN'.



30 July 2009

Buat Duit Dengan Blog

Salam...kalau anda nak buat duit dengan blog anda, sertailah nuffnang (Asia Pacific’s First Blog Advertising Community). Saya sedang menunggu... tuaian yer...hehehe...so, kalau singgah kat blog nie, rajin-rajinlah klik kat promosi nuffnang tu.....



27 July 2009

Naik Kapal Terbang



Semalam, jam 16.15 aku berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud menghantar isteri tersayang naik kapal terbang untuk menghadiri satu mesyuarat di Perlis...perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur dan terus ke Alor Setar, Kedah...Slamat Terbang....



19 July 2009

Sukaneka Taski


Salam...semalam 18 Julai 2009 bertempat di gelangang futsal Wakaf Tembesu, telah berlangsung aktiviti Sukaneka Tahunan Taski Al Hikmah 2009. Puteri dan putera...Raudhatus Sabihah, Nadhratul Athirah dan Ahmad Syamil Al Ameen turut sama-sama memeriahkan aktiviti sukaneka anjuran Taski Al Hikmah...TAHNIAH KEPADA PENGANJUR!


Acara Sukaneka:
1. Lumba lari
2. Lari dalam kain
3. Lari bawa bola pingpong
4. Tarik Upah
5. Lari ikat kaki
6. Lari bawa bola dalam gelung
7. Lari bawa botton
8. Lari junjung pundi kacang
9. Lari kasut gergasi
10. Lontar bola dalam bakul

Acara Ibubapa:
1. Lumba lari
2. Pancing botol
3. Masuk benang dalam jarum
4. Bawa lilin dalam piring
5. Kupas buah
6. Makan buah
7. Cari anak
8. Pakai baju anak
9. Futsal

14 July 2009

Pendidikan Jasmani Tahun 4




Pengalaman pertama aku mengajar kemahiran hoki dalam kalangan murid tahun 4... jadi guru pendidikan jasmani lah katakan...



Kutip Pengalaman Profesional Di SK Durian Burong KT



Salam... Dah lame agaknya aku tak buat posting untuk blog nie, Sekarang ni, dah masuk minggu ke-2 aku bersama teman, Fayroz KSPK PJ menjalani Pengalaman Profesional di SK Durian Burong Kuala Terengganu. Pensyarah penyelia Pn. Normar bt. Ali akan datang bila2 mase sahaja untuk obsev aku... So, aku kene stanby ler... Hari ni juga aku bersama dengan fayroz membuat senamrobik bersama-sama dengan murid tahun 6. Cari peluh sikit...heheheh




17 June 2009

Berzikir Meningkatkan Potensi Otak

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabk an untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

11 June 2009

Melihat Penyu di Taman Laut Pulau Redang


Hari ni, aku ingin berkongsi pengalaman melihat 'haiwan penuh misteri' mendarat untuk bertelur di Pantai Pulau Pinang (Taman Laut Pulau Redang) sewaktu menghadiri Program Pendidikan Luar. Aku berkesempatan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana tabiat seekor penyu ketika hendak melakukan aktiviti bertelur. OK, untuk cerita selanjutnya aku akan sambung di lain mase.



Pengalaman Berharga Pendidikan Luar


Salam... aku mengambil kesempatan bersama-sama dengan rakan-rakan KSPK PJ '09 untuk mengabadikan kenangan di Laguna Redang Resort, Pulau Redang.



09 June 2009

50 Rangsangan Anak Bijak

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG

Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.


7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA

Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA

Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH

Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU

Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT

Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA

Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA

Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastik dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU- SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49-MAIN "TIRU-MENIRU"

Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

24 May 2009

Pendidikan Luar KSPK PJ IPGM KDRI

Esok, aku akan join Pendidikan Luar (PL) di Pulau Redang. Program PL ini akan berakhir pada hari khamis ini (25 hingga 28 Mei 2009). Turut serta bersama... para pelajar KPLI Major PJ... Ok, jumpe lagi untuk catatan selanjutnya di ruang masa yang lain.



23 May 2009

Maksud Pemangkuan

Apa maksud Pemangkuan?

Seorang guru yang telah ditawarkan jawatan hakiki mesti memangku terlebih dahulu. Selepas Pemangkuan 6 hingga 1 tahun pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri akan menguruskan pengesahan jawatan.

Contoh :

DG41 ditawarkan Pemangkuan DG44 pada 1.1.2009

Pada bulan Jun / Julai pihak sekolah boleh uruskan pengesahan jawatan DG44. Guru ini akan menikmati gred DG44 Hakiki dikebelakangkan tarikh.



07 May 2009

Latihan Jeda




L
atihan Jeda adalah satu kaedah latihan fizikal yang melibatkan tekanan kerja yang berulang-ulang dan diselangi dengan masa rehat yang mencukupi. Ia merupakan satu sistem latihan yang diperkenalkan oleh Astrand dan diamalkan oleh Paavo Nurmi pada tahun 1920. Latihan Jeda ini berbeza dari latihan-latihan fizikal yang lain kerana terdapatnya masa rehat antara jeda kerja, sedangkan kaedah latihan lain berterusan tanpa rehat di antara ulangan kerja. Latihan ini dapat meningkatkan kapasiti anaerobik atlit dan amat berfaedah untuk membina dan meningkatkan sistem tenaga aerobik dan sistem anaerobik.

Objektif latihan:
Meningkatkan keupayaan anaerobik
Meningkatkan dayatahan kardiovaskular jantung dan otot.
Meningkatkan ketangkasan, kelajuan, kelembutan dan koordinasi

Rasional latihan:
Dalam kebanyakan permainan, ia memerlukan keupayaan anaerobik dan kaedah latihan ini amat sesuai dipraktikkan.
Jangka masa kerja yang panjang dan ulangan yang banyak serta masa pemulihan yang pendek akan memberikan kesan tekanan (stress) kepada sistem pengangkutan oksigen, ini akan meningkatkan sistem tenaga aerobik.
Penetapan jangkamasa dan jenis aktiviti masa rehat yang sesuai akan dapat mempertingkatkan proses glikolisis anaerobik dan menjadi lebih efisyen.
Atlit berkeupayaan untuk melakukan kerja pada isipadu yang tinggi jika ianya diselang selikan dengan masa rehat berbanding dengan perlakuan yang berterusan.

Prinsip latihan:
Kaedah latihan Jeda ini berdasarkan prinsip-prinsip di antara masa dan masa rehat. Penggunaan lebihan beban digunakan dalam menentukan intensiti kerja yang diberi berdasarkan kepada angkubah-angkubah tertentu. Prinsip latihan hendaklah diberi penekanan kepada perkara-perkara berikut:
kadar jarak dan jangkamasa kerja, ini ditentukan berdasarkan kadar nadi latihan dan jarak set.
masa rehat atau pemulihan
jenis aktiviti masa rehat
bilagan ulangan dan set setiap sesi latihan
kekerapan latihan
tempoh latihan dijalankan

31 March 2009

Menguasai Kemahiran Abseiling...



Semalam 30 Mac '09, aku dan rakan-rakan telah menjalani aktiviti abseiling di gimnasium IPG KDI. Objektif aktiviti ini dilakukan sebagai memenuhi silibus subjek Pendidikan Luar. Semua peserta kursus KSPK PJ akan menjalani aktiviti Pendidikan Luar yang menjadi tunjang utama kepada kursus KSPK PJ anjuran BPG.


Pelbagai gelagat lucu, cemas, dan confident telah mengamatkan sesi aktiviti petang semalam...gelagat aku??...huhuhu...malas nak ceritalah, first time kan...

30 March 2009

Solek posting...

Bersempena dengan hari penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) di dua bukit (Bkt. Gantang dan Selambau) dan satu batang (Btg. Air) pada 29 Mac '09... aku menjelajah setiap blog, untuk melihat senario yang berlaku sewaktu penamaan calon-calon pada siang hari tadi. Dengan tidak semena-mena aku telah mendapat idea bagaimana cara untuk mencantikkan huruf di awal posting dalam blog 'Diari Seorang Pencatat Maya'. Sebelum ini, kita temui di blog-blog di mana huruf besar digunakan di awal kalimat posting dan ia membuatkan tampilan sesuatu posting itu lebih menarik. Ia menarik perhatian pembaca terhadap satu-satu posting yang ditampilkan dan mengajak mata pembaca untuk terus mengikuti deretan tulisan selepasnya.

Hal tersebut sebenarnya mudah dilakukan, iaitu dengan menambahkan style CSS pada halaman Edit HTML. Ia dipanggil "Dropcaps" di permulaan posting.

24 March 2009

Menguasai Kemahiran Kayak



Salam...
Semalam tanggal 23 Mac 2009, aku telah menjalani latihan kayak di kolam IPGM DRI. Pertama kali berkayak...membuatkan aku teringat semasa zaman kanak-kanak dahulu, sewaktu mendayung sampan jiran aku.

Pengalaman pertama menjalani aktiviti kayak. TQ banyak2 kepada pensyarah pembimbing, Pn. Hjh Wan Hamedah bt. Wan Endok.

21 March 2009

Mengapa kapal terapung, tetapi batu kecil tenggelam?

Semua ini berkaitan dengan daya apungan, misalnya apabila kita mencampak sesuatu ke dalam air ia akan menolak dan mengantikan kandungan air.

Misalnya apabila kita masukkan sebiji bola tenis ke dalam kolah, air sebanyak bola tennis akan melimpah keluar. Jika berat air yang digantikan lebih berat daripada berat bola tennis, bola berkenaan akan terapung. Jika bola berkenaan dipenuhi dengan logam berbanding dengan udara, ia akan menjadi lebih berat daripada kandungan yang digantikan dengan air dan ia akan terapung.

Manusia yang menemui teori ini adalah ahli matematik Greek, Archimedes yang terkenal sebagai bapa apungan yang menemui teori itu semasa dalam kolah mandi. Prinsip Archimedes menyatakan bahawa daya tujah ke atas yang bertindak pada sesuatu jasad yang tenggelam atau separa tenggelam adalah sama dengan berat cecair yang disesarkan oleh jasad tersebut.

Aplikasi daya tersebut dalam kehidupan harian adalah kapal laut, kapal selam dan belon udara. Sebuah kapal selam akan terapung pada permukaan lautan jika tanki keapungannya diisi dengan udara. Ini adalah kerana daya tujah ke atas bertindak pada kapal selam melebihi beratnya. Apabila tangki keapungannya diisi dengan air, kapal tersebut akan tenggelam dalam laut kerana daya tujah yang bertindak ke atasnya kurang daripada beratnya.

02 March 2009

Slaid Show

Slaid Aktiviti Larian Pantai Pada 25/01/2009


27 February 2009

Catatan 1/KSPK PJ '09




Salam...

Catatan pertama berkaitan dengan KSPK...peristiwa ini berlaku pada 25 Januari 2009 yang lalu...aksi-aksi sebelum dan semasa aku menjalankan aktiviti "KAEDAH LATIHAN SUAIAN FIZIKAL"...Pengalaman pertama membuat larian secara berkumpulan di Pantai Maras (hampir dgn 'batu rakit' yg timbul kat tepi laut!!!). TQ, Tn. Hj. Abu Zarin bin Abu Bakar.

24 February 2009

Prakata

Salam...
Bahan-bahan masih dalam peringkat pengumpulan dan ianya secara berperingkat dan akan dikemaskini...

Mudah-mudahan dengan adanya sebuah 'Diari Maya' yang tidak seberapa ini akan dapat memberi sedikit ilmu dan pedoman yang mungkin tidak diduga atau dirancang dalam pencarian kita selama ini. InsyaAllah...!!

Selepas ini saya akan buat banner yang menarik untuk diletakkan dalam Diari Seorang Pencatat Maya ini...